Friday, April 25, 2008

Islamnya Kerana Akhlak Rasulullah SAW

Pada suatu hari sedang Rasulullah dan Saidina Umar berbincang dihadapan rumah baginda, tiba- tiba datang seorang yahudi bernama Zaid bin Su`nah. Dengan wajah yang bengis, dia berdiri sambil bercekak pinggang. Tanpa disangka-sangka, Zaid bin Su `nah telah menarik kuat kain ridak yang sedang melilit leher baginda. Ridak yang diperbuat dari kain yang kasar itu telah menyebabkan leher baginda melecet.

Tanpa memperdulikan leher Rasulullah yang melecet Zaid terus membentak,"Wahai keturunan Abdul Mutalib! Memang engkau ini dari keturunan yang suka menangguhkan hutang. Cepat! Bayarkan hutangku segera!"

Sejak awal lagi Saidina Umar tidak menyenangi sikap orang Yahudi itu yang terlalu kasar terhadap baginda Rasulullah saw. Jelas dari wajahnya yang dia mahu bertindakbalas terhadap kekasaran yahudi itu. Namun Rasulullah berkata dengan tenang,"Wahai Umar, bersabarlah. "

Rasulullah memang kenal dengan sikap Saidina Umar yang tidak sanggup melihat baginda direndah-rendahkan seperti itu. Baginda sendiri dapat mengawal kemarahannya terhadap orang yahudi itu.

Sambung Baginda lagi,"Antara kami memang ada urusan hutang. Biarlah kami berdua saja yang menyelesaikannya. Bukankah lebih baik, engkau menyuruhku supaya membayar hutangnya dengan baik dan menasihatinya supaya dia menagih hutangnya juga secara baik. Sebenarnya dalam perjanjian kami dahulu, aku masih ada 3 hari lagi untuk membayar hutangnya. Tetapi tidak mengapalah"

Saidina Umar terdiam mendengar bicara Rasulullah yang penuh lemah lembut dan berhikmah. Dia sedar jika dirinya tidak ditenteramkan oleh baginda, sudah tentu si yahudi itu akan dikerjakannya.

Baginda meneruskan kata-katanya, " Usahakanlah supaya dibayar hutangku itu, dan ditambah lagi sebanyak 20 gantang kurma. Moga-moga hilang marahnya."

Saidina Umar berpaling untuk melangkah ke rumahnya bagi mendapatkan gandum sebagaimana yang diminya oleh Rasulullah. Namun belum sempat dia berbuat demikian, Zaid menahannya. "Nanti dulu Umar!"

Suara Zaid bin Su`nah berubah menjadi lembut. "Semua yang aku saksikan hari ini merupakan tanda-tanda kenabian Muhammad. Aku telah melihat dari wajahnya yang baginda adalah seorang utusan Allah."

"Maksudmu?" tanya Saidina Umar kehairanan.

"Sebenarnya aku datang ke sini semata-mata untuk menguji adakah Muhammad seorang penyantun dan pemaaf sepertimana yang diceritakan orang. Kini semuanya telah terbukti dimana sifat penyantunnya sentiasa mendahului kemarahannya. Memang benarlah dia seorang nabi. Oleh itu, sekarang aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah daqn Muhammad itu pesuruh Allah," ucap Zaid.

Akhlak Rasulullah yang sabar dan penyantun telah menyebabkan Zaid Bin Su`nah yang bersikap kasar tertarik untuk memeluk Islam. Demikianlah mulianya peribadi Rasulullah SAW.

Sepatutnya, kita sebagai umat baginda turut mencontohi akhlak terpuji itu. Apabila akhlak mulia menjadi hiasan diri kita, tentu ramai orang akan tertarik untuk mendekati Islam kerana Islamlah yang mendidik kita begitu.

No comments: