Wednesday, April 16, 2008

Kanak-kanak Penggembala Yang Jujur

Abdullah bin Dinar bercerita tentang perjalanannya bersama Khalifah Umar bin Khattab. Beliau mengatakan, "Saya bersama Umar bin Khattab r. a pergi ke Mekah dan beristirehat di suatu tempat. Lalu terlihatlah hamba sahaya penggembala kambing dengan membawa banyak gembalaannya turun daripada gunung dan berjumpa kami. Umar bin Khattab berkata, "Hai penggembala, juallah seekor kambingmu itu kepadaku!"

Hamba sahaya penggembala itu menjawab, "Aku bukan pemilik kambing ini, aku hanya seorang hamba sahayanya." Umar menguji anak itu, "Katakanlah kepada tuanmu bahawa salah seekor kambingnya dimakan serigala." Anak itu termenung lalu menatap wajah Umar dan berkata, "Maka dimanakah Allah?"

Mendengar kata-kata yang terlontar daripada pengembala ini, menangislah Umar. Kemudian beliau mengajak hamba sahaya itu kepada tuannya kemudian memerdekakannya. Beliau berkata pada hamba sahaya itu, "Perkataan yang telah engkau ucapkan tadi telah membebaskanmu di dunia ini, aku harap perkataan tersebut juga akan membebaskanmu kelak di akhirat."

Sesungguhnya kanak-kanak itu sentiasa jujur dan tidak mahu berdusta, dusta kanak-kanak adalah semata-mata lamunan. Kisah Umar bin Khattab ini menunjukkan bahawa jikalau kanak-kanak telah dididik sejak awal lagi untuk mengenal dan takut pada Allah dia akan mudah tertanam sifat kejujuran dalam dirinya. Kerana itu nasihat dan bimbingan perlu diberikan untuk mengingatkan anak terhadap pengawasan Allah di mana pun mereka berada.

No comments: