Friday, April 25, 2008

Antara Lincoln Dan Abu Zar

ORANG yang berjaya tidak melakukan perkara yang hebat. Mereka melakukan perkara yang kecil dengan cara yang hebat.

Walt Disney, seorang pelukis kartun muda, kecewa apabila editor akhbar sentiasa menolak lukisan kartunnya. Apa yang mereka kata? 'Awak tidak ada bakat!' Namun Disney mahu mencipta sejarah.

Suatu hari seorang paderi gereja mengupah beliau untuk melukis beberapa keping kartun.

Tempat kerjanya hanyalah di sebuah bangsal di sebelah gereja itu yang banyak tikus. Itulah permulaan Mickey Mouse.

Abraham Lincoln, kisah masa kecilnya sangat bermakna. Berjalan beberapa kilometer dari rumahnya untuk meminjam buku, laluan hidupnya penuh dengan kegagalan.

Ketika berusia 21 tahun, beliau gagal sama sekali dalam perniagaan. Tewas dalam persaingan perundangan ketika berusia 22 tahun.

Menghadapi kematian kekasih ketika berumur 26 tahun. Patah hati pada usia 27 tahun. Gagal mendapatkan tempat di Kongres ketika berusia 34 tahun.

Tewas persaingan senator ketika berusia 45 tahun. Kalah lagi dalam pertandingan merebut jawatan senator ketika berusia 49 tahun.

Namun usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal jemu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau dipilih menjadi presiden Amerika Syarikat ketika berusia 52 tahun.

Ketokohannya menjadi ikutan seluruh rakyat negara itu.

Mahatma Gandhi pula ialah seorang pejuang masyarakat yang terkenal di India. 'Mahatma' bererti 'jiwa yang besar'.

Beliau mengambil keputusan untuk menjadi seorang aktivis politik setelah merasai dirinya didiskriminasi di Afrika Selatan.

Ketika kembali ke India, beliau membantu negaranya merdeka daripada penjajahan British.

Beliau percaya manusia dari semua agama harus mempunyai hak yang sama dan hidup bersama secara damai di dalam sebuah negara dan tidak harus dipecah-belahkan.

Sahabat Nabi Muhammad s. a. w., Abu Zar ialah keturunan Bani Ghifar, satu kabilah Arab yang terkenal kerana suka merompak.

Daripada kegiatan jenayah ini kita dapat agak betapa sikap kaum ini yang sangat keras, tidak boleh dipercayai dan amat berbahaya.

Kabilah ini adalah antara kabilah Arab ketika itu yang sangat digeruni. Tetapi Abu Zar seorang yang berbeza.

Walaupun hidup dalam puak yang ganas, jiwanya sangat sensitif.

Beliau berjalan ke Mekah seorang diri semata-mata untuk berjumpa Rasulullah dan menyatakan keinginan menerima Islam.

Abu Zar ialah antara orang yang paling awal memeluk Islam dan semangatnya berkobar-kobar untuk menyebarkan dakwah Islam.

Berbekalkan semangat yang tinggi, Abu Zar kembali ke kampung halaman dan bertemu dengan masyarakatnya bagi mengajak mereka kepada agama Islam.

Tidak mudah bagi beliau untuk berdakwah kepada kaumnya yang kasar itu. Beliau pernah dipukul teruk sebaik sahaja mengisytiharkan diri memeluk Islam.

Abu Zar sungguh tabah dan yakin apa yang dibuatnya merupakan sesuatu yang sangat mulia.

Justeru beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan kaum yang jahil, ganas dan kejam.

Beliau mahu seluruh Bani Ghifar menjadi puak yang paling alim dan pendokong Islam. Abu Zar tidak pernah kecewa dan putus asa.

Dakwah Abu Zar sangat hebat. Ketakwaan yang ada padanya begitu mantap.

Akhirnya seluruh Bani Ghifar menerima cahaya Islam, diikuti oleh Bani Aslam.

Kesungguhan dan keikhlasan Abu Zar sebagai seorang pendakwah yang berjaya dan cemerlang telah dipuji oleh Rasulullah dan menjadi kebanggaan Bani Ghifar.

Semasa bertemu dengan Abu Zar, Rasulullah bersabda: "Bani Ghifar telah diampunkan Allah dan Bani Aslam telah mendapat kesejahteraan daripada Allah."

Saad bin Abi Waqas menerima Islam semenjak kecil; suatu peristiwa yang mengganggu emosi ibunya. Kesedihan ibu Saad amat mendalam kerana Saad telah meninggalkan agama dan kepercayaan mereka turun menurun.

Ibunya, seorang wanita yang cekal telah berusaha pelbagai cara untuk menarik kembali Saad menjadi seorang penganut agama keluarga mereka. Namun semuanya gagal.

Sebagai usaha terakhir, ibu Saad melancarkan mogok lapar dan tidak akan makan kecuali Saad kembali kepada agama asalnya. Saad yang terdidik dengan iman dan taqwa sedikit pun tidak gentar dengan desakan ibunya.

Malahan bertambah iman dan taqwanya sehinggalah ibunya hampir mati kehausan. Dengan tekad dan semangat yang berkobar-kobar, Saad memberitahu ibunya:

"Ibu, jika ibu mempunyai seratus nyawa dan keluar satu persatu daripada badan di hadapan saya, saya tidak akan menyerah keimanan saya sebagai seorang Islam.

"Ibu boleh makan ataupun tidak, tetapi saya tidak akan meninggalkan Rasulullah."

Melihat Saad yang juga tetap dengan pendiriannya, ibunya terpaksa menamatkan mogok lapar dan menerima kenyataan bahawa Saad telah menjadi seorang Islam.

Kenyataan Saad adalah bertepatan dengan seruan dan peringatan yang dinyatakan oleh Allah yang bermaksud: "*Jika kedua-duanya (ibu bapa) memaksa supaya kamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak kamu ketahui, janganlah kamu ikut keduanya dan bergaullah dengan keduanya di dunia secara baik dan turutlah jalan orang yang bertaubat kepadaKu. *

"Kemudian tempat kembalimu kepadaKu lalu Aku khabarkan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan." - Surah Luqman: 15.

Petikan Akhbar Kosmos 20 April 2008

No comments: